Pada tahun 2009, pihak Jabatan Kokurikulum, Pusat Kokurikulum, Sukan dan Kebudayaan UTHM telah mengadakan Bengkel Kokurikulum (Akademik) bagi Kor SISPA UTHM yang telah diadakan di Avillion Legacy Hotel, Melaka pada 23 hingga 25 Oktober 2009. Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membincangkan penubuhan Kor SISPA di UTHM. Antara perkara yang dibincangkan adalah struktur pentadbiran SISPA, silibus SISPA, buku panduan SISPA dan struktur organisasi pengurusan SISPA di UTHM.
Pada 19 Januari 2010, kertas kerja penawaran kursus berkredit SISPA telah diluluskan di Peringkat Jawatankuasa Pengajian Mengenai Penubuhan Fakulti, Sekolah, Pusat, Akademik, Institusi/Program Baru/Pengambilan Pelajar dan pada 3 Februari 2010, ianya telah diluluskan oleh Senat Universiti.
Kursus SISPA ini merupakan kursus kokurikulum berkredit iaitu SISPA I, SISPA II, SISPA III, SISPA IV, SISPA V dan SISPA VI. Setiap kursus tersebut mewakili 1 jam kredit. Pelajar yang menamatkan kursus Kor SISPA sehingga SISPA VI dan menghadiri semua kursus wajib yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) akan ditauliahkan sebagai Leftenan Muda. Modul utama yang di ajar adalah selaras dengan kehendak JPAM dan universiti iaitu pertolongan cemas, menyelamat, melawan kebakaran, dan kawad kaki.
Bagi mengembangkan potensi dan aktiviti Kor SISPA di UTHM, pihak universiti telah menyediakan sebuah pejabat lengkap beserta dengan kelengkapan pengajar manakala pihak JPAM membantu dari segi tenaga pengajar dan staf pentadbiran pejabat SISPA. Seramai 78 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tahun 1 dan 2 merupakan anggota pertama yang mendaftar sebagai SISPA UTHM pada Semester 2 Sesi 2009/2010.
Pada 29 April 2010, permohonan untuk penubuhan Kor SISPA bagi UTHM telah diluluskan oleh JPAM beserta nombor pendaftaran SISPA UTHM. Majlis pelancaran penubuhan Kor SISPA UTHM telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri pada 13 Jun 2010 pada jam 3.30 petang di Dewan Peperiksaan F2 (Bawah), UTHM.
Pada 29 Julai 2015 JPAM telah diletakkan ke Jabatan Perdana Menteri. APM diwartakan pada 25 Ogos 2016 dan penjenamaan JPAM kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dikuatkuasakan pada 1 September 2016. Arahan ini dikeluarkan adalah untuk menguatkuasakan penjenamaan semula nama dan akronim yang digunapakai bagi setiap komponen dan pasukan yang ditubuhkan di bawah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Selari dengan transformasi APM yang dahulunya merupakan sebuah jabatan kepada sebuah angkatan, YB Dato' Seri Dr. Shahidan bin Kassim selaku menteri yang bertanggungjawab ke atas APM serta pihak Pengurusan Tertinggi APM telah melaksanakan suatu anjakan paradigma dalam menaikkan imej angkatan. Salah satunya adalah dengan membuat penjenamaan semula nama dan akronim komponen dan pasukan yang bernaung di bawah APM kepada suatu nama yang lebih segar dan tersendiri. Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) telah dijenamakan sebagai Pasukan Siswa APM. Pihak pentadbiran telah melaksanakan rahan tersebut bagi perlaksanaan peringkat dalaman Universiti dengan pertukaran nama Pasukan Siswa APM pada 22 Ogos 2017. Pada tahun 2018, Pasukan Siswa APM diberi nafas baru dengan penjenamaan nama dan akronim terbaru iatu Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) bagi mengekalkan identitinya sebagai salah satu komponen utama dalam melahirkan Pegawai Sukarela dalam APM.